** Hidup itu perjuangan, Mati itu matlamat **

Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.
Ya Allah! Berikan kesempatan untuk ku mencipta sesuatu yang memberi manfaat kepada insan-insan di sekelilingku sebelum Engkau memanggilku kembali.

08 Sep

Kekasih Yang Sejati

Dalam pencarian hidup ini, kita sering mengaitkan dengan kesempurnaan hidup apabila kita telah berjumpa dengan seseorang yang dekat di hati kita. Seseorang yang menenangkan apabila kita bersamanya. Seseorang yang mengembirakan apabila kita di sisinya.

Dari kecil, seorang bayi sentiasa rasa selamat bila bersama ke dua ibu bapanya. Seorang  adik akan sentiasa rasa dijaga dan selamat bila bersama abang atau kakaknya. Seorang dara akan tersenyum riang dan rasa disayangi apabila ada si teruna yang menyintai dan menyayanginya sepanjang masa. Seorang isteri akan aman dan selamat bila di samping suaminya, bila berada dalam pelukan suaminya.

Lantas, setiap seseorang itu, siapa sebenarnya pergantungannya supaya selamat dan sentiasa aman damai dari dunia sampai akhirat?

Mari kita lihat…

Seorang bayi, bila-bila masa sahaja akan kehilangan ibu dan bapanya apabila masa yang Allah janjikan itu datang. Dan ketika saat itu, bayi tersebut terpaksa beralih kasih kepada mereka yang sudi menyayanginya dan menjaganya. Biasanya kasih sayang yang diberi akan melupakan kita kepada sesuatu kesedihan. Mungkin dalam masa yang tak lama, bayi tersebut dapat melupakan ke dua orang tuanya yang telah pergi menyambut seruan Ilahi. Tidak mustahil dia akan menganggap orang yang membesarkan nya itu adalah ibu bapanya kalau tidak diberitahu kisah yang sebenarnya. kerana manusia itu, ingatannya terhadap sesuatu adalah terbatas dan ada hadnya.

Seorang adik, sampai bila akan bergantung pada abang atau kakaknya. Sampai satu masa mereka akan berpisah dan mengambil arah dan haluan masing-masing. Memilih jalan hidup yang sesuai dengan mereka. Cuma yang tak memisahkan mereka adalah darah yang sama yang mengalir dalam diri mereka. Sekarang ni, adik beradik pun boleh berparang dan bertetak kalau ada rasa tak puas hati, lebih-lebih lagi kalau bab berebut harta. Semakin ramai yang menganiaya sesama sendiri kerana kabur dan rambang mata dengan harta.

Seorang dara, apakah yang menjanjikan pasangannya adalah pemimpinnya untuk menemui Allah? Siapa yang menjamin yang mereka akan berkekalan dan ke jinjang pelamin. Ini kerana soal hati adalah urusan Allah. Siapa tau, dalam hari ni bercinta sayang, tapi hari besoknya berpisah. Siapa yang kita harapkan?

Seorang isteri, walau berjanji untuk sehidup semati dengan si suami, urusan siapa untuk menunaikan harapan kita itu?  Bila si isteri meninggal, si suami mula berasa kesunyian dan mencari ganti, begitu juga sebaliknya. Walau tak semua yang begitu…walau tak bercerai mati, ramai juga yang bercerai hidup. Anak-anak jadi mangsa…(walau bukan semuanya begitu…)

Habis tu, kalau semua yang kita sayang dan kita namakan sebagai kekasih itu berpotensi untuk meninggalkan kita, apa gunanya kekasih? Kekasih ni adalah seseorang yang akan sentiasa menemani kita selama-lamanya. Dalam susah, dalam senang…semasa hidup dan selepas mati…

Siapakan yang sentiasa bersama kita? Semasa kita jaga dan semasa kita lena. Yang tak pernah meninggalkan kita barang sedetik. Sentiasa bersama kita dalam susah dan senang. Tempat kita meminta dan mengadu. Tempat kita bergantung dan mengharap…Tempat yang kita rasa selamat bila bersamanya…

Yang sentiasa mengawasi kita. Sentiasa membantu kita dalam hidup ini. Yang sentiasa membenarkan dan memberi izin kita untuk bergerak. Yang sentiasa memujuk kita ketika berduka…

Bolehkan seorang ibu bapa, seorang abang atau kakak, seorang kekasih  dan seorang suami sentiasa bersama kita dalam lena dan dalam jaga? Setiap detik bersama kita? Tidak pernah meninggalkan kita. Adakah yang begitu?

Dan sesungguhnya kekasih kita adalah yang menciptakan kita. Yang terlalu dekat dengan kita. Yang mengetahui rahsia hati dan luaran kita. Yang mengetahui tiap urat yang ada dalam badan kita. Yang menguasai tiap degupan jantung kita.  Yang mengetahui dan mendengar tiap denyutan nadi kita. Yang mengawal urusan masa lampau dan masa depan kita.

Yang dalam jaga dan tidur, Dia tetap bersama kita. Dalam hidup dan mati kita. Ketika di dalam alam kubur, apakah yang ditanya? Adakah berkenaan dengan insan yang bersama kita? Tidak…Itu bukan soalannya. Tetapi berkenaan dengan kekasih sejati kita, yang Maha Mencipta itu.

Sesungguhnya insan yang bersama kita akan meninggalkan kita, lambat atau cepat.  Tapi Allah, iaitu kekasih sejati kita, tak pernah meninggalakn kita walau sesaat. Dialah yang sentiasa membantu dan menolong kita. Yang tak pernah jemu untuk memberi kepada kita. BersamaNya, kita akan rasa tenang. Cinta dariNya adalah cinta yang pasti. BersamaNya kita rasa damai. Bersama cintaNya kita akan kekal aman dan damai selamanya…Insya Allah.

Dan hanya cinta kepada insan yang keranaNya sahaja akan kekal bersama kita walau pun insan itu telah pergi kepadaNya, kerana cinta dan sayang yang keranaNya tidak akan hilang atau pupus kerana Dia bersifat Maha Kekal dan Maha Hidup selamanya.

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • blogmarks
  • co.mments
  • BlinkList
  • connotea
  • del.icio.us
  • De.lirio.us
  • digg
  • Shadows
  • RawSugar
  • NewsVine
  • Reddit
  • scuttle
  • feedmelinks
  • Furl
  • LinkaGoGo
  • Ma.gnolia
  • Smarking
06 Sep

Lambaian Sayonara

Lambaian sayonara
Menerpa insan dalam pencarian
Meneroka alam sunyi keseorangan
Sedang tiada mata yang memandang

Lambaian sayonara
Mengait harapan hari berbangkit
Sedang umat masih tersepit
Berpuak bangga hati berpenyakit

Lambaian sayonara
Tidak hirau harta dan pangkat
Mengasah minda mahupun bakat
Mencipta hari penuh semangat

Lambaian sayonara
Menafkah nyawa demi perjuangan
Membina benteng besi keimanan
Meredah musuh dengan kebenaran

Lambaian sayonara
Mencampak ragu-ragu dan belenggu
Menghapus pergantungan atas nama hambaMu
Meletak keyakinan kepada Yang Satu

Lambaian sayonara
Demi masa yang telah pergi
Tiada dapat dikembali lagi
Memandang hari untuk mati…

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • blogmarks
  • co.mments
  • BlinkList
  • connotea
  • del.icio.us
  • De.lirio.us
  • digg
  • Shadows
  • RawSugar
  • NewsVine
  • Reddit
  • scuttle
  • feedmelinks
  • Furl
  • LinkaGoGo
  • Ma.gnolia
  • Smarking
06 Sep

Stream Of Consciousness

Sejak tamat persembahan untuk majlis perpisahan tempoh hari, kini aku mula menumpukan latihan muzikku dengan mendengar lagu-lagu dari kumpulan Dream Theater. Semuanya gara-gara bassist band kami yang mengajar kami mendengar lagu-lagu sebegini.

Sesuai dengan judul album untuk lagu ini iaitu Train of Thought, maka aku berminat untuk melayan lagu-lagu “seganas” ini bagi melatih otakku bekerja. Ganasnya lagu ini bukan sebab bunyi bisingnya, tetapi dari segi teknikal muzik yang dibawa oleh kumpulan ini.

Selalu ku terfikir, macam mana orang Barat boleh mencapai tahap bijak begini, sampai boleh buat lagu-lagu yang bijak, ada elemen semangat dan penuh dengan teknikal. Seolah-olah mereka mempunyai ruh yang kuat. Kenapa tidak kepada umat Islam, walhal sama-sama kita ada otak? Adakah kerana otak umat Islam tidak bergerak lagi, akibat belenggu-belenggu yang dipasang atas nama agama, sehingga lahirlah generasi yang lemah semangat dan tidak tahu mencipta?

Walaupun lagu ini hanyalah instrumental, tetap bagiku ia mempunyai jalan ceritanya tersendiri. Ada unsur epic dan perjuangan. Secara mudah, lagu ni mengisahkan sebuah perjuangan untuk membuktikan keupayaan diri. Intro lagu ini menceritakan permulaan perjuangan. Mengorak langkah dengan hikmah dan sabar. Mengumpulkan kekuatan mental dan fizikal. Di pertengahan lagu ini, bermula peperangan. Berjuangan dengan penuh kesungguhan, untuk membuktikan keyakinan pada diri sendiri, bukannya bergantung atas nama orang lain. Yakin diri yang kita adalah insan, bukannya binatang ternak.

Adat perjuangan, ada yang dihidupkan dan ada yang dimatikan. Tetapi setiap yang melangkah untuk berjuang tetaplah golongan yang menang. Dalam lagu ini, di bahagian hujungnya agak syahdu kerana pejuang itu telah terkorban dalam peperangan. Namun namanya tetap terpahat sebagai seorang pejuang. Semangatnya terus diwarisi oleh generasi seterusnya agar hidup sentiasa dalam perjuangan. Dengan semangat yang terus diwarisi, akan bangkitlah umat itu untuk menjadi umat yang bijak berfikir, seperti yang dicapai oleh orang Barat. Itulah erti hidup kita sebagai insan, untuk melawan keraguan bisikan syaitan yang menyebabkan kita jadi malas berfikir.

Bila manusia itu hidup secara malas berfikir dan mengkaji, kerjanya hanya tahu menghukum orang. Maka wujudlah puak-puak dalam umat sehingga berlaku perpecahan. Sebab itulah kita umat Islam sekarang jadi lemah dan tiada semangat. Bila ditimpa kesusahan, hanya tahu menyalahkan pemimpin sendiri. Bukannya hendak hidup secara bijak mencari jalan keluar daripada setiap permasalahan hidup. Sekadar manis di bibir mengaku beriman kepada Allah Maha Bijaksana, tetapi tidak mahu berfikir dan mengkaji agar jadi bijak. Maka tertipulah mereka sebab mengatakan akal manusia terbatas, sehingga Al Quran tidak dikaji guna akal dan rasional lagi. Jadilah seumpama keldai yang membawa kitab-kitab.

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • blogmarks
  • co.mments
  • BlinkList
  • connotea
  • del.icio.us
  • De.lirio.us
  • digg
  • Shadows
  • RawSugar
  • NewsVine
  • Reddit
  • scuttle
  • feedmelinks
  • Furl
  • LinkaGoGo
  • Ma.gnolia
  • Smarking
06 Sep

Setia Seorang Penanti…

Tiada pernah kau hilang dari aku
Walau untuk seketika
Namamu, terlalu utuh terukir di sini
Ku usung ke sana sini, tanpa lelah

Biar kau seakan sayu
Aku tetap setia menanti
Sehingga jasad beralih ke sana
Bukti kasih tak pernah pudar

Kekasihku…
Sesungguhnya aku sangat kasih
Biar bicaramu seakan membeku
Biar sinaranmu seakan menyapah
Menanti…itulah aku

Menanti dalam kesabaran
Menanti dalah kepiluan
Menanti dalam kesakitan
Menanti dalam penyiksaan
Menanti dalam Keresahan
Menanti dalam kesamaran
Menanti itu…pengorbanan

Biar jasad luluh
Biar hati sayu
Biar kalbu merintih…
Menantimu…aku kepadaNya…

Biar Tsunami menghempas ganas
Biar Hana merobek segalanya
Selagi ada nafas dan daya ini
Segalanya tertinta untukmu…

Sehinggalah aku kembali padaNya…
Sayangilah segala milikku
Pelukilah segala kesayanganku
Cintailah setiap ada ku

Sesekali hati berbicara…
Aku rindu….

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • blogmarks
  • co.mments
  • BlinkList
  • connotea
  • del.icio.us
  • De.lirio.us
  • digg
  • Shadows
  • RawSugar
  • NewsVine
  • Reddit
  • scuttle
  • feedmelinks
  • Furl
  • LinkaGoGo
  • Ma.gnolia
  • Smarking
06 Sep

Sketsa Ramadhan Dan Syawal

Dalam bulan Ramadhan yang penuh barakah ini, rata-rata antara kita berlumba-lumba untuk menggandakan amal ibadah. Berlumba-lumba untuk mempertingkatkan amalan seharian kita. Menambah yang sunat dan berusaha meninggalkan yang dilarang. Al-Hamdulillah…

Dan tak kurang juga yang berlumba-lumba untuk membuat persiapan untuk raya. Puasa baru sehari, tapi persiapan raya dah mula dilakukan. Baju raya dah beli, langsir baru dah tempah, tinggal masa nak ambil jer. Kedai perabot dah dijenguk untuk sebagai persediaan perabot baru untuk raya nanti. Nanti, tak ada la malu dengan jiran-jiran yang bertandang. Apa kelas pakai sofa lama…meja makan kena berganti…kena la ikut trend.

Rumah dah  luntur catnya. Kena cat ni…kalau boleh cat sendir, jimat la jugak. Tapi baik upah orang jer la…tak penat sangat nanti. Lagi pun leceh la kalau buat sendiri.

Hm…banyak juga tu nak pakai duit. belum masuk budget untuk balik kampung lagi. Kampung sendiri dan kampung mertua. Tak kan nak balik tangan kosong. Paling tidak baju raya untuk adik beradik dan mak ayah kena la beli. Duit raya lagi…Mak oi….boleh botak kepala ni. Kepala yang berkelumumur yang dah sure gatal tu, digaru-garu. Daki kepala ditenyeh ke kain.

Dah la duit dah banyak habis untuk persiapan raya rumah sendiri, rumah mak ayah dan mertua tak masuk lagi…Tu diorang dah berpesan nak sarung kusyen baru. Nak beli yang harga RM60-70, malu la pulak. Paling tidak yang ada brand. Biar adik beradik yang lain tengok terbeliak biji matanya. Sudah tu, rumah mertua kena beli juga, baru adil. Kalau tak, mau taknya ada yang tarik muka 14.

Mana la nak cekau duit ni. Tak kan nak pinjam dengan Along…Huh, tak mau cari pasal. Pinjam dengan kengkawan? Huh diorang pun sibuk dok meminjam. Pinjam dengan mak ayah, ala…buat malu jer la. Kata kerja besar….gaji besar, rumah besar…hehe, bini pun besar. Ops…diri sendiri pun besar jugak. Apa taknya, ayam yang penuh lemak dan kolesterol tu jugak yang jadi santapan harian. Bukan tak pernah dengar pasal bahaya kolesterol, tapi sedap punya pasal…hentam saja la.

Tiba-tiba kepala teringatkan replika cek yang dihantar oleh Maybank. Ala-ala pinjaman gitu.  Guna dulu baru bayar. Dan senyuman mula terukir indah di bidir. Selamat aku….Lagipun pinjaman dengan Maybank ni, terjamin. Takder la sampai nak simbah-simbah cat kat rumah, nak kacau anak bini…huh, kalau yang tu, tak sanggup aku! Paling gerun, berparang dan berasid. Minta jauh.

Syukurlah…dalam kepala dok pening mikirkan mana nak cekau duit, sempat lagi berfikir tentang kesan buruk kalau pinjam dari Along. Tapi kalau yang dah terdesak dan tak sempat nak fikir panjang tu…kegembiraan sebentar menjadi hiburan dan sengsara yang panjang menjadi derita.

 *********

Inilah sebahagian daripada agenda raya yang menjadi keutamaan sesetengah daripada kita.  Kita seakan lupa objektif dan matlamat sebenar kedatangan Ramadhan dan kehadiran indah pagi Syawal. Kehadiran bulan puasa yang merupakan salah satu jalan menuju kepada ketakwaan telah berubah objektifnya. Rata-rata kita lebih menekankan menu masakan untuk berbuka dan sahur. Nak makan apa, nak beli kuih apa, nak pergi pasar Ramadhan yang mana pulak hari ini….

Seterusnya, nak beli baju raya jenis apa, kalau boleh nak pilih yang terbaru la. Baru up to date. Kasut dan beg kena sedondon dengan warna baju. Belum masuk bab tudung lagi.  Sudahnya, malam dihabiskan dengan menjelajah pasaraya. Bila dah balik, penat terus tertidur. Tak per la, bangun jap lagi untuk solat Isyak dan tarawikh. Sedapkan hati sendiri…

Sudahnya, bangun pun ngam-ngam untuk bersahur. Lauk pun tak sempat nak panaskan.  Untuk sedapkan hati lagi, qada’ solat Isyak dalam Subuh jap lagi la…mata ngantuk ni. Lelap dalam 5,6 minit.

Alamak, terbabas lagi. Dah nak pukul 7 pagi. Bergegas bersiap sebab nak pergi kerja. Baju tak iron lagi, nak mandi lagi…sudahnya terlupa janji nak qada’ Isyak tadi, dengan Subuh pun melayang…

Inilah sketsa hidup kita. Bukan semua. Tapi segelintir pasti ada.

*****

Salah satu kehebatan dan kebesaran Ramadhan ialah pada malam Lailatul Qadarnya. Bila ketikanya Allah sahaja yang tahu. Tak perlulah kita menunggu sepuluh malam terakhir untuk menanti Lailatul Qadar. Amalan yang berterusan dari awal Ramadhan dan bulan sebelumnya akan membawa kita kepada amalan yang konsisten. Kelebihan Lailatul Qadar ini ada Allah nyatakan dalam KalamNya dalam Surah Al-Qadr.

Untuk kita yang menghayati Ramadhan, besederhana adalah jalan yang terbaik. Allah tidak suka kepada sesuatu yang melampau dan memudaratkan. Begitu juga dengan pembaziran.

Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya (Al Israa’, 27)

Sebelum kita lakukan sesuatu, fikirkan dulu baik buruknya. itulah gunanya akal. Itulah fungsinya nikmat Allah yang membezakan kita dengan binatang ternak ini.  Lapangkan fikiran dan luaskan pandangan kita, jangan hanya berada di bawah tempurung yang kita cipta bertahun-tahun lamanya itu. Sepak terajanglah tempurung yang menutup kepala kita itu. Gantikan dengan sebuah alas yang indah dan menawan. Setinggi dan secerah langit…seceria sinar mentari.

Ramadhan untuk kita sama-sama menginsafi dan muhasabah diri. Jadikan Ramadhan satu titik mula untuk kita beralih ke sesuatu yang baru, dan berazamlah untuk mempertahankannya sehinggalah ke Ramadhan yang seterusnya dan seterusnya… insya Allah.

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • blogmarks
  • co.mments
  • BlinkList
  • connotea
  • del.icio.us
  • De.lirio.us
  • digg
  • Shadows
  • RawSugar
  • NewsVine
  • Reddit
  • scuttle
  • feedmelinks
  • Furl
  • LinkaGoGo
  • Ma.gnolia
  • Smarking
05 Sep

Waktu Itu Hingga Kini

Menuruni lembah di daerah keinsanan
Mendaki gunung tapa ke puncak awan
Bibit sinar seri luas pandangan
Disulam kicau unggas susur berterbangan

Lambaian si hitam diterpa bayu
Hingar gempita susup sembunyi
Sedetik waktu langkah berlalu
Tinta tercatat genggam makrifat

Awan mendung terlakar suram
Bagai mengerti luka di hati
Bersama angin terkapai harapan
Gelora menggulung pantai menanti

Bisa meresap menyaluri ruang
Tanpa penghalang menuju pulang
Lembaran putih memeluk jasad
Tertutup kamus tinggal kenangan

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • blogmarks
  • co.mments
  • BlinkList
  • connotea
  • del.icio.us
  • De.lirio.us
  • digg
  • Shadows
  • RawSugar
  • NewsVine
  • Reddit
  • scuttle
  • feedmelinks
  • Furl
  • LinkaGoGo
  • Ma.gnolia
  • Smarking
05 Sep

Erti Hidup

Ibu, adik ni busuk la…
Dia ewok la ibu…
Tergelak aku dengan aduan si kecil
Tertawa aku…terhibur hati…

Dan si adik
Terkedek-kedek membawa sarat pampersnya
Sambil mulut terjuih-juih tanda busuk
Sesekali jatuh, bangun semula
Baru belajar berjalan anakku itu..

Dan pagi ku…
Tak pernah jemu dari senyuman si kecil
Merengek manja minta di bawa
Tak sanggup berpisah walau sekejap
Sedang si abang lena dalam mimpi terindah

Ternyata…
Dua anak kecil itu kian mengerti
Kian memahami erti hidup
Kian mengenali erti bahagia
Kian mengetahu erti ditinggalkan…

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • blogmarks
  • co.mments
  • BlinkList
  • connotea
  • del.icio.us
  • De.lirio.us
  • digg
  • Shadows
  • RawSugar
  • NewsVine
  • Reddit
  • scuttle
  • feedmelinks
  • Furl
  • LinkaGoGo
  • Ma.gnolia
  • Smarking
05 Sep

Cinta Untuk Mati

DaripadaMu aku datang
KepadaMu aku dikembalikan

DaripadaMu ilham Quran diajarkan
KeranaMu aku sampaikan

DaripadaMu cinta ini diterbitkan
KeranaMu aku perjuangkan

Biarpun terseksa menahan rindu
Namun apalah daya upayaku

Walau di depan mata atau tiada
Tetap bayangnya datang menjelma

Semua itu ketentuanMu untukku
Yang harus ku hadapi dengan redha

Demi Tuhan yang memegang jiwaku
Perjuangan ini hidup dan mati

Bukanlah cinta ini datang untuk mengganggu
Tetapi untuk kita bersatu

Jika daripada sihat Engkau sakitkan
Tidak mustahil dari sakit Engkau matikan

Apa jua Engkau tetapkan
Tetaplah aku pasrah menerima
Sama ada aku akan dimatikan
Atau masih terus bernyawa

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • blogmarks
  • co.mments
  • BlinkList
  • connotea
  • del.icio.us
  • De.lirio.us
  • digg
  • Shadows
  • RawSugar
  • NewsVine
  • Reddit
  • scuttle
  • feedmelinks
  • Furl
  • LinkaGoGo
  • Ma.gnolia
  • Smarking
04 Sep

Nasib Si Abid

Teringat sebuah kisah yang pernah ku baca ketika zaman di kanak-kanak. Buku yang dibeli oleh kakak ku yang ketika itu sedang belajar di sebuah universiti tempatan, mengisahkan nasib seorang abid (ahli ibadah) dari kalangan bani Israel. Abid ini terlalu sibuk dan tekun beribadah setiap hari di rumah ibadahnya untuk menjauhi perbuatan dosa.

Suatu hari, iblis pun merancang untuk menipu daya abid tersebut dengan menyamar sebagai seorang alim. Sesampai di tangga hadapan tempat ibadah, iblis pun mengucap salam dan memohon kebenaran abid tersebut untuk menumpang beribadat sama. Namun kerana kusyuk beribadah, abid tersebut tidak mengendahkan permintaan iblis tersebut. Si iblis tidak berputus asa, kerana menyesatkan manusia itu memang sudah menjadi dendamnya, maka dia pun duduk di hadapan tangga luar rumah ibadah tersebut sambil menunjuk-nunjukkan perbuatan ibadatnya. Biarpun panas atau hujan, tetaplah iblis tekun dengan lakonannya.

Sehingga suatu hari, abid yang sibuk beribadah itu pergi ke pintu hadapan dan terkejutlah dia melihat iblis yang menyamar itu masih berada di luar sambil beribadah dengan kusyuk mengalahkannya. Walaupun dia sudah lama beribadah, tetapi tidaklah sampai ke tahap itu. Maka tergeraklah abid itu untuk bertanya kepada si alim tersebut untuk mengetahui apakah rahsia yang membolehkan iblis itu beribadah dengan lebih tekun lagi.

Maka iblis pun berpura-pura menceritakan kisah silamnya bahawa dia dahulu adalah seorang yang kuat berbuat dosa. Segala dosa habis dilakukan. Sehingga satu suatu hari, dia merasa insaf dan bersungguh-sungguh untuk bertaubat dengan berbuat ibadat. Sebab itulah dia boleh beribadat sampai ke tahap itu. Iblis pun menyucuk jarumnya dengan mengatakan kepada si abid itu, jika mahu mencapai tahap alim sepertinya, buatlah dosa dahulu, kemudian bertaubatlah.

Termakan dengan tipu-daya iblis, abid itu mahu mencuba berbuat dosa. Tetapi oleh kerana selama ini dia tidak pernah melakukan perbuatan-perbuatan yang mengundang dosa, maka dia pun minta tunjuk ajar si iblis. Iblis memberi tiga pilihan untuk membuat dosa, sama ada mahu minum arak atau berzina atau pun membunuh. Oleh kerana pada perkiraan abid itu dosa minum arak lebih kecil daripada berzina dan membunuh, maka dia pun setuju untuk minum arak sahaja.

Maka iblis pun bawalah abid itu ke tempat minuman arak dihidangkan. Akibat kemabukan meminum arak, abid itu telah berzina dengan seorang wanita di tempat itu. Setelah bergelumang dengan perbuatan dosa, abid itu mulalah beribadah untuk bertaubat dengan bersungguh-sungguh. Beberapa bulan kemudian, datanglah wanita yang telah dizinainya itu memberitahu yang dia telah mengandung. Abid itu mula resah ketakutan. Iblis pun mula membisikkan racun yang seterusnya agar membunuh wanita itu dan menanamnya agar bukti dihilangkan.

Akibat ketakutan, maka abid itu menurut kata hatinya. Maka berlaku lagilah perbuatan dosa, iaitu dengan membunuh wanita tersebut. Kehilangan wanita tersebut menjadi kegemparan keluarganya sehingga pihak berkuasa terpaksa menyiasat. Diringkaskan cerita, abid itu didapati bersalah membunuh wanita tersebut dan dia dipenjarakan untuk menanti hukuman bunuh. Ketika di penjara, iblis datang membawa harapan palsu lagi. Dia meminta abid itu sujud kepadanya jika mahu dilepaskan. Akibat sudah ketakutan untuk dihukum, si abid itu menurut sahaja membuta-tuli. Maka iblis pun berlepas diri setelah berjaya menipu dan menyesatkan abid itu. Matilah abid itu dengan membawa dosa syirik, iaitu dosa yang teramat besar dan tidak diampunkan jika manusia itu mati dalam kesyirikan.

Begitulah lebih kurang ceritanya, kisah nasib seorang yang menganggap hidup adalah untuk mengejar ibadah sahaja kerana menganggap ibadah itulah yang akan mendekatkan diri dengan Allah. Jika kita termasuk dalam golongan menganggap berbuat ibadah ritual dan rukun2 yang diajar itu sudah melayakkan kita bernama seorang Islam yang dijamin syurga, berhati-hatilah agar kita tidak tertipu dengan iblis.

Cuba kita renungkan umat Islam sekarang yang berlumba-lumba buat solat, berpuasa dan ibadah lain. Kena pula di bulan puasa ini, kita bertarawih, bertadarrus dan macam-macam ibadat tambahan yang lain, dengan harapan kita mendapat ganjaran pahala dan keampunan Allah. Tetapi kenapa umat Islam masih lemah, suka berpecah-belah dan berpuak-puak? Suka menyalahkan orang lain disebabkan tekanan yang dirasai sendiri. Suka menghukum orang daripada muhasabah diri. Suka berdengki sesama sendiri. Bagaikan ibadah-ibadah yang dilakukan selama ini  menjadikan kita seorang yang sombong dengan keislaman kita. Dan seperti sunnah terdahulu, manusia yang sombong akan mendapat kehinaan. Itulah realiti yang berlaku kepada kita umat Islam sehingga jadi lemah dan hina.

Apabila kita melihat ajaran Al Quran itu sekadar buat ibadah ritual iaitu bersolat, berpuasa, zakat dan haji, maka kita telah menempah nasib seperti si abid tadi. Berapa ramai generasi muda Islam telah melakukan dosa mabuk, zina, membunuh akibat yang tua-tuanya memandang Islam pada sudut yang sempit? Kita mungkin tidak nampak kesilapan kita sendiri, sebab suka memandang keburukan orang lain. Kita suka memandang Barat sebagai punca kerosakan akhlak, sedangkan kita sendirilah yang gagal membina benteng yang kukuh agar faktor luar tidak mempengaruhi dalam diri.

Benteng diri akan kukuh bila minda kita teguh. Minda yang teguh adalah minda yang berfikir secara logik, bukannya bayangan kosong yang tidak masuk akal. Kita gagal melengkapkan generasi Islam yang melihat Allah secara logik. Akidah tidak diajar dalam bentuk yang mudah difahami, sehingga umat Islam hanya nampak Allah pada nama sahaja. Sebab itu bila pihak Kristian hendak menggunakan perkataan “Allah” dalam kitab Bible terjemahan Melayu mereka, kita jadi takut. Kononnya nanti anak-anak muda kita terkeliru dan tersesat. Jika kita ajar akidah secara logik dan mudah difahami mengenai Allah, bagaimana akan tersesat selagi generasi kita menggunakan akal? Seperti mudahnya logik 1+1=2, sampai bila-bila pun kita akan pegang pada kebenaran ini sebab itu telah masuk akal. Tiada kata-kata lain yang boleh menyanggah kebenaran ini.

Kerana itu, kedatangan Ramadhan kali ini, penuhilah masa kita berfikir secara logik. Banyakkan berfikir, bukannya mengejar kuantiti rakaat tarawikh dan berapa kali khatam Quran yang tidak difahami intipatinya. Kisah abid yang mudah tertipu itu menunjukkan dia seorang yang lemah daya fikirnya sebab hidupnya memandang berbuat ibadah ritual semata-mata. Bila lemah daya logik, iblis mudah menipu daya dengan memberi harapan-harapan palsu. Macam orang Melayu baca Al Quran dalam bahasa Arab yang dia tak faham, dengan harapan dapat keberkatan. Itulah harapan palsu dan fantasi dalam agama.

Jadikanlah Al Quran sebagai tapak atau platform untuk membina daya fikir logik kita dengan mengkajinya mengikut bukti-bukti yang realiti yang wujud zaman sekarang, bukannya memandang Al Quran pada 1500 tahun yang lampau. Bila kita nampak sesuatu yang logik dan realiti, barulah kepercayaan (iman) kita jadi kukuh. Untuk menegakkan tiang, perlukan tapak yang kukuh. Kalau tapak itu lemah, tumbang juga tiang itu, seperti tumbangnya si abid dengan tipu-daya iblis. Tumbangnya kita umat Islam sekarang sebab sudah termakan dengan jarum iblis itulah, sebab kita memandang ibadah pada zahirnya, bukan pada kekuatan akal dan daya fikir. Bila fikiran matang, semua perbuatan dosa, secara fitrah akan kita jauhi.

Oleh kerana kita adalah insan yang dikurniakan akal yang berkembang, bukannya terbatas seperti binatang ternak, hidup kita sebenarnya adalah untuk mengembangkan minda sehingga pandai mencipta. Bila kita berjaya mencipta sesuatu menggunakan keupayaan kita sendiri, hati kita rasa puas. Kepuasan ini akan membakar semangat untuk mencipta dan terus mencipta. Sebab itulah orang Barat sampai boleh cipta roket. Kebolehan mencipta inilah yang membezakan kita dengan makhluk-makhluk lain. Malaikat walaupun mulia dan taat, tetapi mereka tidak ada kekuatan untuk mencipta. Sebab itu mereka tunduk kepada Adam setelah melihat keupayaan Adam yang diangkat sebagai khalifah. Hanya iblis sahaja yang sombong untuk tunduk kepada Adam, sebab dia menganggap ibadah-ibadah (iblis adalah ahli ibadah asalnya) yang telah dilakukan selama ini telah memuliakan dirinya daripada Adam. Maka jadilah dia makhluk yang hina.

Jika kita berfikir panjang, sebenarnya kita umat Islam sekarang sudah mencontohi perangai iblis, sebab kita anggap diri kita mulia dengan ibadah solat, puasa, zakat dan sebagainya itu, sehingga kita hidup secara malas mengkaji, meneroka dan seterusnya tidak tahu mencipta. Kita merasa sombong dengan keislaman kita dengan menganggap segala yang berunsur Arab itulah Islam, walhal berapa ramai nabi dan rasul dibangkitkan dari macam-macam bangsa dan umat. Kita merasa sombong dengan keislaman kita itu dan memandang Barat yang rajin mencipta teknologi itu golongan kafir. Kita hanya berbangga-bangga bila mampu membeli barangan berteknologi dari Barat, sedangkan hendak menciptanya kita tidak tahu.

Ingatlah, dalam Al Quran mengumpamakan orang kafir iaitu lebih hina dari binatang ternak, sebab ada akal, tetapi tak mahu digunakan dan dikembangkan. Siapakah golongan yang ada akal tetapi tidak pakai sehingga tidak tahu mencipta teknologi yang realiti wujud kini? Bukankah golongan hina itu adalah kita umat Islam yang suka berpuak-puak dan berpecah-belah?

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • blogmarks
  • co.mments
  • BlinkList
  • connotea
  • del.icio.us
  • De.lirio.us
  • digg
  • Shadows
  • RawSugar
  • NewsVine
  • Reddit
  • scuttle
  • feedmelinks
  • Furl
  • LinkaGoGo
  • Ma.gnolia
  • Smarking
03 Sep

Solat dan Tiang Agama

Selalu disebut bahawa solat adalah tiang agama. Dengan dibawakan hadis Rasulullah s.a.w. iaitu, “Sembahyang itu tiang agama, sesiapa yang mendirikannya sesungguhnya ia telah mendirikan agama dan sesiapa yang meninggalkannya maka ia telah meninggalkan agama.” (riwayat Al-Baihaqi)

Namun jika kita perhatikan nasib umat Islam sekarang, adakah solat itu benar-benar menjadi tiang yang menegakkan ummah? Kenapa umat Islam berkeadaan lemah bagaikan tiada tiang dalam diri mereka? Kenapa kita ketinggalan jauh dalam bidang teknologi sehingga tidak tahu mencipta sedangkan kita mengakui menyembah Allah Yang Mencipta?

Konsep tiang itu ia perlulah kukuh dan padu. Jika tiang itu reput, pasti akan runtuh jua binaan pada tiang tersebut. Apabila disebut sesuatu yang kukuh, ia perlulah benar, realiti dan logik. Jika tiang itu sekadar bayangan kosong yang tidak masuk akal, akan tertegakkah tiang tersebut?

Kerana itu sebelum mendirikan solat, sudahkah kita menjadi manusia yang berfikiran logik, atau sekadar berfantasi dalam beragama? Adakah kita beragama menggunakan atas nama imam terdahulu, sehingga kata-kata yang tidak masuk akal atas nama mereka pun kita terima dan turuti membuta-tuli? Adakah kita masih membaca Al Quran dengan tidak memahami, atas alasan mendapat pahala dan keberkatan? Berkatkah kita jika hidup dalam keadaan tuli lagi tidak memahami? Logikkah amalan sebegitu akan mendapat keberkatan hidup?

Apabila kita nampak logik dan hikmah di sebalik suruhan solat, maka ia akan tertanam dalam hati. Dengan kata lain, kita melakukan solat secara ikhlas. Bila tiang tertanam dalam tanah, sudah pasti ia akan kukuh. Jika tiang itu sekadar bayangan, macam mana kita hendak tanam tiang itu? Macam itulah bila kita melihat solat secara logik, maka ia menjadi tiang yang kukuh dalam hati kita.

Logik kenapa kita perlu bersolat adalah untuk melatih daya tumpuan kita agar berfikir pasal Allah (kusyuk). Bila dalam solat kita sentiasa memikirkan keagunganNya, ia akan membiasakan kita berfikir pasalNya di luar solat. Berfikir secara logik akan mengembangkan minda, sebab akal hanya boleh berkembang bila kita berfikir secara logik. Cuba kita renungkan, jika kita berpegang pada sesuatu yang tidak logik iaitu dengan mengatakan 1+1=3, padahal tiada bukti yang kukuh pun kata-kata kita itu, mampukan ilmu matematik dikembangkan?

Dengan kata lain, ajaran Islam bukan melihat solat pada zahir ibadah ritual itu, tetapi nilai solat itu menjadikan kita umat yang bijak dan berhikmah. Dan Allah itu Tuhan Yang Maha Bijaksana.

Juga, selalu kita temui mengenai penegasan mengajar anak-anak bersolat menerusi riwayat hadis Rasulullah s.a.w, “Suruhlah anak-anak kamu bersembahyang sejak umurnya tujuh tahun dan apabila berumur 10 tahun, pukullah mereka jika mereka tidak sembahyang.” (riwayat at-Tirmidzi)

Jika kita berfikir panjang tentang hadis ini, adakah urusan ibadah suatu paksaan sehingga perlu dipukul anak itu? Bagaimana anak itu hendak mencapai keikhlasan jika agama dijadikan paksaan? Tidakkah Islam itu bukan satu paksaan? Sepatutnya latihlah anak itu berfikir secara logik sejak awal tujuh tahun. Sebab itu kita mula masuk darjah satu pada umur tujuh tahun. Bukankah pada umur ini budak-budak dilatih berfikir secara logik bahawa 1+1=2. Tetapi jika sudah umur sepuluh tahun pun masih mengatakan 1+1=3, tidakkah layak budak itu dipukul? Memukul anak untuk belajar dibenarkan kerana kesan kesakitan itu akan merangsang otak. Bila otak mula bergerak, maka ia akan berfikir, seperti bergeraknya enjin setelah suis dihidupkan.

Jika kita nampak pengajaran Al Quran itu untuk melatih kita menjadi manusia yang bijak, iaitu setelah kita berfikir secara logik, kita akan bersolat secara ikhlas sebab solat mampu menajamkan minda, asalkan ketika bersolat itu kita memikirkan secara logik mengenai Allah. Jika kita anggap bersolat untuk dapat pahala kerana itu suruhan Allah, sedangkan kita tidak fahami kelogikan di sebalik solat itu, tetaplah kita menjadi tuli. Bila jadi tuli, maka manusia itu mudah tertipu dengan syaitan dalam hatinya sendiri. Berapa ramai umat Islam sekarang yang kononnya bersolat beribu kali, tetapi masih tidak mampu mengawal emosi. Hidup berdengki sesama sendiri. Fitnah-memfitnah berebut kuasa politik. Hati panas bila diperingatkan dengan kelogikan Al Quran. Maka solat itu tidak mampu menghindari kita dari dosa. Sesungguhnya Allah Maha Melihat segala yang tersembunyi dalam hati.

 

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • blogmarks
  • co.mments
  • BlinkList
  • connotea
  • del.icio.us
  • De.lirio.us
  • digg
  • Shadows
  • RawSugar
  • NewsVine
  • Reddit
  • scuttle
  • feedmelinks
  • Furl
  • LinkaGoGo
  • Ma.gnolia
  • Smarking